LATIHAN ASAS KEUSAHAWANAN
Program Asas Keusahawanan adalah program latihan yang disasarkan kepada golongan belia dan orang dewasa yang berminat untuk memulakan perniagaan mereka sendiri tetapi menghadapi kekurangan kemahiran asas yang diperlukan oleh seorang usahawan. Objektif keseluruhan program latihan ini adalah untuk menyediakan usahawan mahir dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk membolehkan mereka untuk mengenal pasti peluang perniagaan dan kemudian menubuhkan dan menguruskan perniagaan. Kurikulum ini bertujuan untuk menyampaikan pelbagai kemahiran termasuk membangunkan pelan perniagaan, meningkatkan kemahiran berunding ,berkomunikasi dan penggunaan teknologi dalam perniagaan. Latihan Keusahawanan ini ditawarkan secara PERCUMA dan terbuka kepada semua yang berminat dalam menceburi perniagaan secara online.
KLIK DENGAN BIJAK
Klik Dengan Bijak adalah sebuah program yang membudayakan penggunaan internet secara positif berteraskan 3 aspek iaitu keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab yang menitikberatkan kawal selia kendiri (self-regulation) dalam membendung masalah penyalahgunaan internet. Ia bertujuan untuk:
- Melahirkan pengguna yang celik terhadap teknologi dan kandungan media baru (bijak internet)
- Mewujudkan rasa tanggungjawab dalam kalangan pengguna Internet supaya beretika dan prihatin terhadap pengguna yang lain
- Memberi pendidikan kepada pengguna internet tentang kepentingan kawal selia kendiri
- Mewujudkan persekitaran yang selamat untuk pengguna melayari internet
Program ini menitikberatkan prinsip-prinsip Rukun Negara yang dilihat sebagai merangkumi kesemua perkara yang perlu ditekankan dalam kehidupan kesemua rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Keselamatan – Untuk mendidik masyarakat agar menggunakan internet dengan cara yang selamat
Kewaspadaan – Untuk menggalakkan masyarakat untuk berwaspada semasa berinteraksi di dalam talian (online)
Tanggungjawab – Untuk memupuk penggunaan kandungan berangkai secara positif di kalangan masyarakat.
Sasaran khusus program ini adalah golongan masyarakat yang paling terdedah dengan jenayah salah laku siber iaitu golongan muda (kanak-kanak, remaja, belia) dan penjaga mereka (ibu-bapa, penjaga). Dengan adanya program ini, pembangunan dan peningkatan penggunaan jalur lebar diharap dapat menjana ekonomi Negara, selain turut dimanfaatkan untuk tujuan kebaikan serta memberi impak positif dalam mengekalkan nilai serta budaya bangsa Malaysia.