| Tajuk : | PERTANDINGAN CTF PERINGKAT KEBANGSAAN 2025 |
| Tarikh : | 24 – 26 September 2025 |
| Masa : | 8.00 pagi – 10.00 malam |
| Tempat : | Mercure Living Putrajaya |
Tujuan Program
Pertandingan CTF NADI Cybersecurity ini di bawah inisiatif Perkhidmatan Pintar NADI – Teras Pembelajaran Sepanjang Hayat dianjurkan sebagai platform strategik untuk melatih dan membangunkan generasi muda sebagai perintis kepada benteng keselamatan siber negara. Melalui penganjuran ini, NADI berperanan menyokong pembangunan bakat tempatan bagi memenuhi permintaan industri keselamatan siber yang kian meningkat selaras dengan kemajuan pesat IR 4.0.
Objektif Program
- Melahirkan generasi muda yang berkemahiran dalam bidang keselamatan siber melalui pendedahan kepada cabaran dunia sebenar.
- Memperkasa bakat tempatan agar mampu menjadi barisan hadapan pertahanan siber negara.
- Menyokong dan memenuhi keperluan industri keselamatan siber yang semakin berkembang.
- Menyokong agenda pembangunan modal insan selari dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.
- Memberi ruang kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan teknikal secara praktikal dan kompetitif.
Program NADI Cybersecurity dilaksanakan di bawah inisiatif Perkhidmatan Pintar NADI – Teras Pembelajaran Sepanjang Hayat. Penganjuran kali ini telah berjaya menarik penyertaan lebih 600 ahli NADI dari 12 negeri, dengan 27 peserta terbaik mara ke peringkat akhir CTF Grand Finals 2025.
Tahniah diucapkan kepada para pemenang:
Johan – Pasukan Central/Borneo A
Naib Johan – Pasukan Central/Borneo B
Ketiga – Pasukan Selatan A
Syabas juga diucapkan kepada pasukan Selatan B yang turut dibarisi oleh peserta dari NADI Kampung Kuala Sungga, iaitu Nuriszati Najwa binti Mohd Idris. Penglibatan beliau hingga ke pentas akhir merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan wajar dijadikan contoh.
Dalam pertarungan yang sengit dan penuh kompetitif, pasukan Johan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, Naib Johan menerima RM20,000 dan tempat Ketiga memperoleh RM10,000. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Dr. Mohd Arif bin Adenan, Ketua Pejabat NADI MCMC.
Kalah dan menang adat bertanding. Semoga kejayaan dan pengalaman para peserta yang mara ke peringkat kebangsaan menjadi inspirasi kepada komuniti, sekali gus mendorong lebih ramai golongan muda menceburi bidang keselamatan siber. Kejayaan ini juga membuktikan bahawa platform NADI mampu melahirkan bakat kompeten yang berpotensi menyumbang kepada ekosistem digital negara.




